Labels

Selasa, 18 Oktober 2011

Cinta Si Penggesek Biola

TITISAN hujan membasahi bumi. Berebut-rebut titisan itu jatuh ke tanah. Rifqi memandang langit malam itu. Hujan masih turun mencurah-curah. Dia memandang butir-butir cecair menghempap tanah. Sesekali tempias mengenai wajahnya. Rifqi mengeluh kecil. Dari tingkap dia beralih pula ke pintu. Disandarkan tubuh sasa itu ke daun pintu. Matanya masih merenung gelap malam. Suara cengkerik dan katak silih berganti menemani hujan malam itu. Sesekali Rifqi mengesat air mata yang menyeberangi pipi.


"Rifqi…" Kedengaran suara wanita memanggilnya. Segera Rifqi mendapatkan wanita itu di biliknya.

"Ibu, jangan macam ni, bu. Rifqi tak nak kehilangan ibu!" Rifqi sudah tidak malu mengongoi di
pundak ibunya. Salmah tersenyum kecil walaupun payah. Terketar-ketar tangan tua itu mengusap ubun-ubun Rifqi. Rifqi mencapai kembali tangan Salmah dan dibawa ke pipi. Hanya Rifqi lah satu-satu buah hati yang sanggup menemani hari tuanya setelah suaminya berkahwin lain. Masih segar dalam ingatan Salmah pada hari dia memberitahu suaminya Safuan yang dia menghidap barah perut, Safuan tidak dapat menerima kenyataan. Hanya Rifqi yang menemani sepanjang malam. Menghantarnya pergi dan balik ke hospital.

Namun selang beberapa hari Safuan pulang memberitahu yang dia sudah pun beristeri baru. Mujur juga Rifqi ke kuliah pada hari itu. Terasa lemah seluruh anggota badan Salmah bila mendengar ungkapan itu. Safuan menceraikan Salmah dengan talak satu. Salmah hanya tertunduk lesu ketika itu. Matanya merah dan membengkak. Di dalam remang senja, muncul batang hidung Rifqi. Salmah hanya memandang sayu ke arah Rifqi. Rifqi segera mendapatkan ibunya yang bergelap gelita.

"Ibu, ibu, kenapa ni, ibu?"Rifqi menggoncang-goncang bahu Salmah.

"Ayah Rifqi dah tak sayang ibu lagi, dia dah kahwin lain. Ayah dah ceraikan ibu…" Dalam esakan Salmah memberitahu. Rifqi memejamkan matanya. Dia mengepalkan tangan lalu menumbuk daun pintu.

"Biar Rifqi ajar ayah!" Rifqi berkira-kira mahu berlalu tetapi Salmah sempat berpaut di kaki Rifqi. Tangisan ibunya melemahkan seluruh anggota Rifqi lalu dia terduduk di sisi ibu yang sedang menangis itu.

Batuk-batuk kecil dari Rifqi menyedarkan Salmah dari lamunannya. Rifqi mulai duduk dan merenung lembut ke wajah salmah.

"Rifqi, janji dengan ibu, kalau ibu tak ada nanti Rifqi ambil kotak bawah katil ibu ni, ya?" Rifqi menjadi tidak keruan.

"Kenapa ibu cakap macam ni? Ibu mesti sembuh!" Salmah menggeleng-gelengkan kepala. Dia mengusap lembut pipi anaknya.

"Ibu takkan sempat, sayang. Dengar cakap ibu." Rifqi sudah tenggelam dalam tangisannya. Dia tidak mendengar lagi bait patah ibunya.

"Rifqi, Rifqi mesti janji dengan ibu, pada hari lahir Rifqi nanti Rifqi boleh buka kotak yang ada kat bawah katil ibu ni." Pujukan Salmah hanya dibalas dengan anggukan lemah. Rifqi kembali baring di sebelah ibunya sehingga terlena. Ibunya juga turut memejamkan mata.

Entah pukul berapa Rifqi tersedar. Itupun kerana tangan Salmah jatuh ke dadanya. Rifqi segera membuka mata dan menoleh ke arah ibunya yang tampak lena. Rifqi cuba mengalih tangan ibunya tetapi debaran mula terasa apabila tangan Salmah sejuk. Rifqi bingkas bangun dan menggoncang-goncang tubuh yang sudah kaku itu. Rifqi dapat merasakan tekaannya tepat.

"Ibu!!"

RIFQI hanya memandang sayu katil usang tersebut. Kemudian matanya terarah di bawah katil di bilik itu. Perlahan-lahan Rifqi bangun dan merapati katil yang banyak meninggalkan suka dan duka bersama Salmah. Rifqi meraba-raba kotak yang disebut-sebut arwah ibunya. Tangannya terhenti pada satu kotak yang sederhana besar. Rifqi bercega menarik kotak tersebut keluar. Dia terpempan seketika apabila melihat apa yang ada di dalamnya. Sebuah biola yang masih baru dikeluarkan oleh Rifqi. Air matanya bergenang dan untuk kesekian kalinya ia mengalir menemani hidupnya yang sepi. Rifqi memeluk biola tersebut dengan erat sekali. Rifqi memutar kembali kenangannya bersama Salmah. Pernah pada suatu ketika Salmah berkata pada Rifqi bahawa dia gemarkan bunyi gesekan biola. Alunannya lembut, perlahan dan mengasyikkan. Rifqi membelek lagi biola yang lengkap berdawai itu. Dikucupnya biola yang dianggap pengganti ibunya kini. Dia mula bercita-cita mahu mempelajari alat muzik tersebut. Wasiat ibunya harus ditunaikan. Dia tidak akan mensia-siakan impian Salmah.

GESEKAN biola itu membuatkan hatinya berlagu tenang. Hazreena mengamati melodi yang dimainkan. Amat menyentuh sehingga menusuk ke sanubarinya. Sudah tiga hari berturut-turut dia mendengar gesekan tersebut. Sepanjang menjadi pelajar baru di Kolej Mega, dia hanya dapat mendengar alunan itu tanpa mengetahui siapakah gerangannya yang begitu hebat memainkan alat muzik itu. Hatinya meronta-ronta ingin tahu. Hazreena mendengar lagi. entah kenapa dia seperti dapat menyelami hati penggesek biola yang bagaikan dilanda kesedihan. Sesekali air matanya jatuh juga tatkala kemerduan melodi itu menyentuh hati perempuannya.

"Teringin nak tahu siapa penggesek biola itu?" Satu suara asing singgah di pendengarannya. Hazreena bagaikan terganggu tetapi soalan pemuda itu bagai menarik-narik dirinya untuk melayan perbualan lelaki asing yang sedang merenungnya.

"Aku Naeem." Pemuda itu menghulurkan tangan. Mata bundar milik Hazreena jatuh ke tangan pemuda itu.

"Kau kenal penggesek biola itu?" Soal Hazreena kepada Naeem. Naeem ketawa kecil. Dia mengangguk-anggukkan kepala.

"Sudah tentu aku kenal. Sudah dua tahun aku rapat dengannya. Wajah lelaki itu kelihatan sedikit muram. Gesekan biola masih terus berbunyi.

"Wajah kau seperti memberitahu sesuatu yang menyedihkan." Hazreena cuba meneka.

"Kalau kaulah orang yang diutuskan Allah untuk mengubah perjalanan hidup Rifqi, membuatkan Rifqi kembali tersenyum, kau patut lakukan begitu." Tidak dapat menangkap maksud kata-kata Naeem.

"Maksud kau?" Dia bepeluk tubuh menunggu balasan dari Naeem. Naeem mengeluh kecil. Merenung ke satu bilik di mana Rifqi sentiasa menggesek biolanya memuntahkan melodi-melodi yang mengasyikkan.

"Rifqi sentiasa ke bilik itu untuk meluahkan perasaannya dengan melodi yang dimainkan, kalau kau punyai masa lapang, pergilah ke bilik itu." Naeem berkira-kira mahu beredar. Dia menoleh ke arah Naeem yang sudah pun berdiri.

"Naeem!" Satu suara singgah di pendengaran Hazreena dan Naeem. Serentak dengan itu, mereka menoleh dan Naeem tersenyum ke arah empunya suara. Pemuda tinggi lampai itu menghampiri Naeem. Di tangan kanannya menjinjit sebuah beg khas untuk sebuah biola. Hazreena merenung ke arah pemuda itu. yang menguntumkan senyuman kepada Naeem. Senyuman itu tampak hambar walaupun dia cuba untuk memaniskan wajahnya.

"Jumpa lagi." Ucap Naeem kepada Hazreena sambil melirik mata kepada Rifqi di sebelahnya. Hazreena faham maksud sebenar Naeem. Rifqi tidak menoleh kepada Hazreena walau sepicing pun.

HAZREENA membuka sedikit pintu yang sentiasa dihuni oleh Rifqi apabila telinganya menangkap alunan muzik sentimental dari Rifqi. Hazreena menjadi tidak keruan apabila gesekan biola Rifqi yang tadinya lembut dan mempesonakan bertukar menjadi kasar dan mencemaskan. Melodi yang dimainkan semakin tidak teratur bunyinya. Hazreena semakin gelisah. Bagai ada suatu kuasa magis untuk menariknya masuk ke bilik itu. Hazreena bersandar di daun pintu. Dia dapat melihat dengan jelas Rifqi menggesek biolanya walaupun hanya daripada belakang. Temponya tetap semakin laju. Rifqi bagaikan tidak sedar akan perbuatannya. Semakin
lama semakin laju. Semakin laju dan terus laju.

Tiba-tiba, ‘Tapp!!!’

"Aduh!!" Biola yang setia mengalun melodi yang indah untuk Rifqi terlepas dari tangan. Hazreena tersentak. Segera dia menghampiri Rifqi.

"Rifqi!" Hazreena memegang jari-jemari Rifqi yang tercedera dek salah satu tali biolanya terputus. Darah merah pekat mengalir laju. Hazreena mengambil sapu tangan di dalam begnya lalu ditekapkan di jari telunjuk Rifqi.

"Kau siapa? Macam mana kau boleh berada di sini?" Kasar sahaja bunyinya. Hazreena mendongak menatap mata yang jernih itu.

"Tak mengapa, aku boleh balut sendiri!" Rifqi menarik tangannya dari terus dipegang oleh Hazreena. Hazreena hanya tunduk.

"Aku Hazreena." Hazreena masih tidak mampu membalas renungan Rifqi. Mata Hazreena terarah pada biola yang jatuh terhempas di atas lantai. Segera dia mengambil biola tersebut dan diserahkan kepada Rifqi. Rifqi mengambilnya tetapi mata Rifqi tetap merenung Hazreena.

"Kau belum jawab soalan-soalanku."

"Aku tak pernah jemu mendengar gesekan biola kau. Setiap kali aku ke sini, aku pasti mendengar. Kau pandai mengalunkannya. Mungkin sebab itu hati aku terdorong untuk mengenali kau." Rifqi hanya diam terpaku mendengar penjelasan Hazreena.

"Kenapa kau ingin berkenalan dengan aku?" Hazreena berhenti dari melangkah seraya menoleh ke arah Rifqi.

"Sebab kau tidak seperti lelaki-lelaki lain yang perlukan hiburan untuk berseronok. Titian perjalanan hidup kau, hanya kau sahaja yang tahu." Rifqi ketawa sinis mendengar kata-kata Hazreena yang berbaur sindiran. Rifqi mendekati Hazreena.

"Jangan menghukum aku hanya kerana tafsiran dari mata kau." Nadanya lebih lembut. Hazreena cuba tersenyum. Dihulurkan tangan kanannya untuk bersalaman. Hazreena melihat balutan yang kurang sempurna di jari telunjuk Rifqi.

"Balutan akan menjadi sempurna jika dilakukan dengan kedua belah tangan, begitu juga dengan kehidupan, lebih sempurna jika punyai teman." Hazreena memandang biola yang kurang sempurna itu lalu menyambung kata-katanya kembali.

" Seperti petikan filem Indonesia, biola ini juga kalau ia tidak lengkap berdawai, mana bisa memainkan nada-nada indah."

SUDAH hampir setahun mereka berkenalan dan menjadi sahabat akrab. Hari itu Hazreena, Rifqi dan Naeem berkumpul seperti biasa.

"Kenapa orang mengatakan kau sukar unruk didekati?" Hazreena mengutarakan soalan. Matanya memandang tepat ke anak mata Rifqi.

"Mereka yang meletakkan aku di dalam kelompok yang sukar untuk didekati kerana hanya aku selalu bersendirian dengan biolaku." Tenang sahaja jawapan Rifqi. Tiba-tiba terpacul seorang lelaki berpakaian kemas menghampiri mereka bertiga.

"Encik Rifqi." Rifqi menoleh, kemudian matanya terarah ke bahu jalan. Sebuah kereta Mercedes berhenti di situ. Lelaki itu menghulurkan sekeping cek dan sebuah buku untuk ditandatangani. Lelaki itu segera beredar setelah menyerahkan cek pada Rifqi. Rifqi melihat kereta mewah itu sehingga hilang dari pandangan.

"Inilah kasih sayang dari ayahku setiap bulan." Rifqi memandang cek itu. Hazrena makin tidak faham akan situasi Rifqi. Dia juga turut memandang cek yang bernilai RM 5000 itu.

"Aku semakin tidak faham dengan kehidupan kau. Rupanya kau masih punyai ayah? Kenapa dia tidak datang sendiri berjumpa dengan kau?"

"Aku yang melarang dia untuk berjumpa denganku."

"Kenapa? Kerana perbuatannya yang telah menceraikan arwah ibu kau?" Hazreena semakin galak bertanya. Rifqi mendengus kasar.

"Ya! Dia tidak setia! Dia sanggup berkahwin lain hanya kerana ibuku sakit!"

"Jangan terlalu cepat menghukum ayah kau, Rifqi. Beri dia peluang untuk memperbetulkan kesilapan lalu!"
"Kau tak perlu campur urusan aku!" Rifqi mendengus lagi.

"Kau sudah menganggap aku sahabatmu, tapi tak mahu menerima pendapatku!"

"Hidup aku terlalu peribadi untuk orang lain tahu! Kenapa kau terlalu mengambil berat tentangku?!"

"Kerana aku menyayangi kau!" Hazreena pantas meninggalkan mereka berdua. Rifqi terkedu dengan penjelasan Hazreena.

"Kenapa kau tak boleh nampak cinta yang membara dalam diri Hazreena?" Usul Naeem tidak berpuas hati.
"Sayang dan cintaku hanya untuk ibuku!" Rifqi masih tidak mahu mengalah.

"Sikap kau seolah-olah menutup pintu hati dan menguncinya, dan kunci itu kau campak jauh ke dalam laut!" Naeem semakin geram dengan sikap endah tak endah Rifqi.

"Bukankah aku kata cintaku hanya untuk ibuku yang bersemadi di pusara sana?! Tidak ada sesiapa yang menerima cintaku untuk kali kedua." Giliran Rifqi pula beredar meninggalkan Naeem

RIFQI gelisah seperti menanti seseorang. Hari itu adalah hari paling bersejarah dalam hidupnya. Buat kali pertama Rifqi memainkan biolanya secara solo untuk persembahan di Kolej Mega. Sesekali Rifqi termenung bagai menyesali sesuatu.

"Kau tunggu seseorang? Ayah kau atau Hazreena?" Muncul Naeem mengejutkan Rifqi. Rifqi tersentak tetapi dia tunduk semula.

"Aku tak pernah menunggu sesiapa dalam hidupku!" Keegoan Rifqi masih terserlah. Naeem meggelengkan kepala.

"Keegoan kau menyebabkan kau sukar untuk mengaku yang kau cintakan Hazreena dan kau rindukan kasih sayang seorang ayah!" Malam itu Naeem nekad untuk menyedarkan Rifqi yang sentiasa terikat dengan kenangan lampaunya.

"Aku boleh hidup sendiri, tanpa sesiapa dalam hati aku."

"Kau pasti?! Tapi kenapa benda ni aku jumpa dalam bilik kau?!" Naeem menunjukkan sebuah bingkai yang terkandung sehelai sapu tangan yang cantik terpampang. Rifqi memutar kembali ingatannya saat hari pertama dia bertemu Hazreena. Sapu tangan itu dibersihkan dan dijaga sehingga sebegitu rupa. Sangkanya tiada siapa yang akan mengetahui perasaan sebenarnya. Rifqi merampas bingkai tersebut lalu dipeluknya.

"Kenapa kau menceroboh bilikku?!"

"Supaya aku dapat jawapan yang sebenar! Mengharapkan kau membuka mulut mengaku perasaan sebenar, sampai bila-bila pun aku takkan tahu!" Jawapan Naeem menyentap perasaan Rifqi. Dia tertunduk malu mengaku perasaan tulusnya terhadap Hazreena.

"Rifqi.." Satu suara garau menampar telinga Rifqi. Suara yang amat dinantikan. Suara yang amat dirindukan. Pantas Rifqi menoleh. Wajah ayahnya merenung sayang ke arah Rifqi. Kemudian Rifqi memandang pula gadis di belakang ayahnya. Gadis manis berbaju kurung putih itu menguntumkan senyuman kepada Rifqi.

"Ayah.." Segera Rifqi memeluk tubuh ayahnya. Kemaafan mewarnai perhubungan yang dahulunya pudar. Naeem dan Hazreena saling berpandangan. Hazreena sedikit tersentak apabila Rifqi memegang jari-jemarinya.

"Hazreena, di hadapan ayahku, bersaksikan Naeem serta malam yang indah ini, sudikah kau menerimaku, sebahagian dari hidupmu?" Hazreena terpempan dengan lamaran Rifqi. Dia hanya tunduk dan tersenyum tanda setuju. Nama Rifqi diumum untuk membuat persembahan. Dia tersenyum bahagia di atas pentas dan mula mengalunkan melodi indah bersama biola kesayangannya. Hazreena merenung kasih pada Rifqi.

0 comment:

Posting Komentar

Followers